Meregulasi ADHD Semasa Menulis Disertasi – Bab Kaedah Penyelidikan
2 hari yang lalu
....menyampaikan maklumat demi perjuangan Islam....
ALOR SETAR, 28 Feb: Kerajaan Negeri Kedah memberi khabar gembira kepada pelajar Mesir di Kedah apabila sanggup menanggung segala perbelanjaan balik pelajar ke Mesir di samping wang poket untuk setiap pelajar. Menteri Besar Negeri Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan demikian dalam satu perjumpaan dengan pelajar- pelajar Mesir yang berasal dari Negeri Kedah semalam. "Kita (kerajaan negeri Kedah) telah menyewa 3 buah kapal terbang Egypt Air untuk menghantar pelajar ke Mesir semula. “Sebagai kerajaan, kita (kerajaan Kedah) rasa bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat Negeri Kedah. “Kerajaan Kedah menghabiskan 2.5 juta ringgit dalam projek penghantaran kembali pelajar Kedah ke Mesir," katanya dalam ucapan di depan pelajar Mesir di Kedah dan para waris hari ini. Kerajaan Kedah, katanya, mempunyai perancangan rapi untuk rakyat Kedah untuk mencapai Kedah Sejahtera. Walaubagaimanapun, pelajar tajaan MARA akan di tanggung sendiri oleh pihak MARA. Ustaz Azizan juga mengumumkan setiap pelajar akan di beri duit poket 500 ringgit setiap orang serta pelajar akan di hantar terus menaiki kapal terbang dari KLIA ke Kaherah. Penerbangan perama di jadualkan berlepas pada 5 Mac iaitu seramai kira-kira 220 orang pelajar dan penerbangan seterusnya sehingga 10 Mac. Perjumpaan tersebut diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Alorsetar turut di hadiri exco Hal Agama dan Pelajaran Negeri Kedah, Datuk Taulan bin Rasul itu di anjurkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah. |
Abdul Fatah |
Terlebih dahulu saya, sebagai pemerhati yang mewakili Kelab Malaysia Jeddah (KMJ), Malaysian Business Council (MBC), Kelab Malaysia Yanbo’, Kelab IDB & Panda mengucap terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dalam usaha penghantaran pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir transit ke Jeddah dan seterusnya kembali ke tanahair. Usaha ini amat baik dan perlu diteruskan lagi. Segala perancangan yang dibuat sangat bagus tetapi perlu dipantau oleh pihak-pihak tertentu kerana didapati banyak perkara yang pincang telah berlaku di Sekretariat Ops Piramid yang berpusat di Markaz Madinatul Hujajj, Tabung Haji. Didapati seolah-olah tidak ada korodinasi semasa pegawai-pegawai yang bertugas yang terdiri dari Pak Duta, Pak Kongen Jeddah, Pak Kongen Dubai, Konsul Haji dan beberapa pegawai kanan dari Wisma Putra dan Tabung Haji.Difaham mesyuarat begitu kerap diadakan tetapi tidak ada timbalbalas dan keseragaman. Antara yang ketara adalah dari segi pengurusan yang tidak efisyen dan keseragaman dan komited seperti contoh-contoh di bawah: KELEMAHAN PENGURUSAN PENDAFTARAN Daftar senarai pelajar tidak mengikut tarikh ketibaan (kerana difahamkan visa yang diberikan adalah ‘emergency evacuation visa’ bagi tempoh 1 minggu sahaja); Daftar senarai pelajar yang disediakan bercampur tarikh ketibaan dan tidak dibuat penyisihan maka sukar untuk mengenalpasti pelajar mana yang sampai dulu dan kemudian lantaran ini mengakibat penghantaran balik pelajar tidak teratur dan berjadual; Daftar senarai pelajar hanya dibuat pada hari pertama dan kedua sahaja tetapi hari berikutnya tidak ada daftar senarai daftar pelajar dibuat; Pelajar yang datang dahulu sehingga kini masih belum balik tetapi pelajar yang baru sampai sehari dua sudah balik; Ini menunjukkan pengurusan pentadbiran oleh MKN, Pak Duta, Pak Kongen Jeddah dan Dubai tidak efisyen; Didapati ada sesetengah pelajar yang terdiri daripada anak-anak ‘Dato’ atau ‘VIP’ diberikan keutamaan dalam penghantaran balik. Difahamkan senarai penghantaran balik diurus kendalikan oleh Pak Duta dan Pak-Pak Kongen sahaja dan mereka inilah yang menuntukan anak Dato atau VIP yang akan dihantar balik dulu terutamanya yang ada kaitan dengan wisma putra atau kaum kerabat mereka; Disebabkan daftar senarai pelajar tidak ada maka didapati banyak pelajaran aliran pengajian Islam telah berjaya membolos keluar dari Madinatul Hujajj pada hari pertama mereka sampai. Pelajar-pelajar ini telah mengambil kesempatan mengerjakan umrah dan tinggal dirumah sanak saudara atau rakan pelajar-pelajar mereka dari Universiti Umm Qurra, Makkah; Sebahagian pelajar yang telah selesai mengerjakan Umrah telah balik secara persendirian ke Malaysia tanpa melalui secretariat kerana mereka mengetahui daftar senarai pelajar tidak ada; Sebahagian besar pelajar masih lagi berada di Bukit Ajyad, Makkah menumpang di rumah saudara atau pelajar-pelajar Malaysia (dari Universiti Umm Qurra, Makkah) dan bilangannya lebih kurang 100 orang; Dimaklumkan sebanyak 100 pelajar yang menghadapi masalah dimana visa mereka telah tamat sahlaku dan ini menimbulkan satu masalah lagi; KEGAGALAN PENGURUSAN PENGHANTARAN BALIK Urusan ticketing diuruskan oleh pihak Tabung Haji sepenuhnya dan didapati banyak kelemahan dari segi pengurusan; Pelajar-pelajar tidak dimaklumkan lebih awal tarikh dan masa mereka akan balik, berkumpul untuk menaiki bas dan bertolak ke lapangan terbang. Maklumat terperinci seperti jenis pesawat (MAS/Charlie/Air Asia/Singapore Airlines/Royal Brunei/ Garuda/ Saudia Airlines/) No.Pesawat, destinasi, waktu bertolak/ketibaan, samada transit tidak diberitahu langsung. Pelajar-pelajar ini dibuat seperti menghalau anak kambing masuk ke reban bila tiba waktu senja. Mereka tidak boleh bertanya langsung dan akan dimarah oleh pegawai yang membuat ticketing. Arahan naik bas dan terus kelapangan terbang; Jadual penerbangan terlalu sukar untuk diperolehi, dimana apabila ibubapa bertanya pihak secretariat mereka beritahu mereka tidak tahu kerana pihak ticketing Tabung Haji tidak berikan maklumat. Ini menunjukkan bahawa tidak ada kerjasama atau kordinasi di antara pihak sekreatriat dan Tabung Haji; Ahli keluarga yang membuat panggilan bertanya mengenai status anak mereka tidak dilayan dimana ‘pegawai-pegawai khas’ atau ‘jurucakap khas’ ini tidak menjawap panggilan telefon dan panggilan ‘didivertkan’ kepada pegawai lain yang tidak berkenaan; ‘Bosses” yang bertugas tidak akan menjawab panggilan telefon dari ibubapa dan panggilan ini akan diarahkan kakitangan bawahan menjawab; Semua maklumat terlalu sukar untuk diperolehi dan banyak sangat ‘red tape’ dan hanya ‘bos’ tertentu yang boleh mengeluarkan informasi yang diminta tetapi bos-bos ini sukar pulak untuk dihubungi melalui telefon; Didapati ada beberapa pegawai dari Kementerian Pelajaran dan MARA yang ada di markaz ini tetapi tidak ada satu program yang disusun bagi pelajar-pelajar ini untuk mengelak kebosan mereka; Maka markaz ini boleh diumpamakan macam pusat serenti; Pelajar perempuan dan lelaki bebas bergaul tanpa batasan dan boleh duduk berdua-dua waktu malam tanpa ada kawalan atau penguatkuasaan, Pihak KMJ dan MBC mahu membuat taskirah tidak dibenarkan; Banyak pelajar pengajian Islam dari Universiti Al Azhar dan Tanta yang mahu menganjurkan kuliah agama dan tazkirah tetapi tidak dibenarkan atas alasan takut ada propaganda politik; Terlalu banyak pegawai yang berada dalam bilik operasi dan bermesyuarat setiap hari tetapi tidak tahu apa keputusan dan kesudahannya; Seharus Pak Duta dan Pak-Pak Kongen bertugas di bilik operasi ini 24 jam tetapi dukacitanya ada dikalangan mereka yang masuk ke Bilik Operasi jam 11 pagi atau 12 tengahari. Disebelah malam setakat jam 8 malam sahaja dan sudah balik ke rumah. Program yang paling sibuk mereka sediakan adalah program untuk mengerjakan Umrah oleh Dato’ MKN. Yang pastinya Pak Kongen Jeddah yang menjadi KETUA menyediakannya dan turut sama sebagai pengiring. Masalah pelajar tidak selesai mereka sudah 3 atau 4 kali mengerjakan umrah. Kepentingan pelajar diketepikan dan kepentingan sendiri diutamakan. Malahan Pak Kongen Jeddah siap mengadakan majlis makan malam dirumahnya untuk Dato’ MKN dan ‘Pegawai-Pegawai Khas’ Bilik Operasi. Ini bertujuan untuk bodek dan mengampu. Pak Duta, Pak Kongen, Konsul Haji/Naib Konsul Haji sibuk menajga Dato’ MKN dan ditatang dan diusung ke hulu ke hilir dengan penuh tanggungjawab. Pak Duta dan Pak Kongen Jeddah yang nampak paling terover sebab mereka ini dah terlebih tempoh untuk balik ke Malaysia tetapi masing-masing mencari kable untuk kekal sebagai Duta atau bagi Pak Kongen pulak dapat dilantik sebagai Duta. Maka masing-masing pasang pukat untuk mendapat hasil. Tugas mereka bukan membantu pelajar tetapi menjaga Dato’ MKN pulak. Kesimpulannya, kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dari Kelab Malaysia Jeddah, MBC, IDB dan Panda yang saban malam berada di Madinatul Hujajj memberikan sumbangan material, wang ringgit dan moral kepada pelajar-pelajar ini mengucapkan terima kasih kepada PM atas usaha murni beliau tetapi dukacitanya pelaksanaan diperingkat bawahan kucar-kacir dan boleh memboleh memburuk dan mencalar Negara. Dengan paparan ini diharap semua rakyat Malaysia mengetahui keadaan sebenar berlaku di Pusat Operasi Piramid Madinatul Hujajj, Jeddah. Ops Piramid berakhir pada hari ini, 13 Februari 2011. Sekian, terima kasih. ABDUL FATAH ABDUL KARIM Mewakili KMJ, MBC, IBD dan PANDA sumber |
Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU, 1 Feb: Pergolakan yang berlaku di Mesir sekarang sewajarnya memberi pengajaran pada pemimpin di negara lain agar tidak bermegah dengan kemenangan kerana akan berhadapan dengan rusuhan sekiranya menzalimi mereka. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Beliau berkata demikian ketika menghubungi Harakahdaily hari ini bagi mengulas perkembangan rusuhan yang berlaku di Mesir itu. Katanya, kemenangan yang mencapai 99 peratus merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. “Dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding dalam pilihanraya. “Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini,” ujarnya. Akibatnya, jelas Tuan Guru lagi rakyat telah memprotes kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi di negara itu walaupun pada zahirnya mendapat undi yang besar. Sambungnya, rusuhan itu sebenarnya satu mesej yang besar terhadap mereka yang menipu rakyat. “Mula-mula boleh la menipu, tapi bila dah lama rakyat sudah tidak boleh bertahan lagi,” ujarnya. sumber |
Mohamad Suhaimi Abdul Aziz |
Tidak ada siapa meramalkan bahawa pemimpin negara-negara Arab yang terkenal sombong, angkuh, kuku besi, zalim dan rejim yang ganas ini bakal tumbang. Tunisia mendahului apabila menumbangkan rejim Zein al Abidin yang memerintah selama 23 tahun. Hosni Mubarak, yang memerintah selama 30 tahun dan terkenal dengan sifat zalimnya terhadap rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta bersahabat baik dengan rejim zionis Israel kini menanti saat untuk tumbang. Umat Islam mengingati Hosni Mubarak sebagai diktator yang telah menutup pintu sempadan dengan Gaza sebagai pintuk masuk Mesir ke Palestin sehingga menyebabkan ribuan umat Islam mati kebuluran. Revolusi kini mengakar ke Yaman, Jordan dan menghampiri beberapa negara Arab. Tunisia bagaikan domino pertama yang menumbangkan pemerintah, dan diekori oleh negara-negara Arab yang lain. Selama berdekad lamanya keadilan dilenyapkan dan demokrasi hanya ditempelkan bagi menunjukkan kepada dunia mereka juga negara yang bebas dan adil. Walhal pilihanraya yang berlangsung, hanya parti mereka sahaja boleh bertanding dengan bebas manakala parti pembangkang ditekan. Pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan, dibunuh, diugut, dibuang negeri dan pelbagai lagi tindakan tidak peri kemanusiaan. Lebih melucukan apabila hanya parti mereka sahaja dibenarkan bertanding dalam setiap pilihanraya. Inilah yang berlaku di Indonesia era Suharto dan kini di negara-negara Arab. Hasil kekayaan negara diagihkan sesama mereka manakala pemerintahan negara diwariskan kepada anak-anak mereka. Rakyat terus melarat dan merempat sedangkan pemimpin ini hidup bermewah. Rakyat dibiarkan dalam kelaparan, kemiskinan, dan pengangguran. Pelbagai cukai tidak masuk akal dikenakan bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin tanpa mempedulikan rakyat. Kemuncaknya, kemarahan rakyat bagaikan disimbah minyak petrol yang menyala-nyala. Kemarahan rakyat tidak mungkin dipadamkan sehinggalah rejim-rejim ini tumbang dengan hinanya. Letusan revolusi ini adalah loceng amaran kepada pemimpin sombong bongkak di mana-mana negara. Pemimpin di Malaysia jangan beranggapan mereka selamanya selamat. Memerintah selama puluhan tahun memuakkan lagi rakyat terhadap pemerintahan mereka. Meskipun sistem pilihanraya di Malaysia tidak seteruk era rejim pemerintah Arab sekarang, namun ruang demokrasi tidak dibuka seluasnya untuk parti politik selain BN. Buktinya di mana-mana pilihanraya sama ada pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum, tidak sekali-kali parti pembangkang dibenarkan akses atau liputan di media. Lebih menjelekkan, pemimpin parti pembangkang difitnah, ditohmah, dihina dan dicaci sesuka hati melalui media rasmi tanpa diberi peluang mereka membela diri atau menjawab segala persoalan. Undi pos yang dicurigai dikekalkan sebagai simpanan undi tetap BN. Daftar pemilih dimanipulasi sehingga berlaku penyelewengan yang ketara. Sengaja pemerintah tidak melaksanakan sistem celup jari bagi mengelakkan keadilan terlaksana. Manakala jentera kerajaan diperah semaksima mungkin bagi berkempen untuk pihak mereka. Pengundi pula ada yang dipujuk dengan pelbagai habuan seperti kain pelikat, beras termasuk wang ringgit. Habis berjuta ringgit duit kerajaan masuk ke poket pengundi. Kalau dikira tekanan, hampir semua tekanan dan ancaman dirasai oleh parti pembangkang. Himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang kebiasaannya akan disuraikan dengan gas pemedih mata dan tangkapan-tangkapan. Kebebasan bersuara, berhimpun hampir tiada di Malaysia untuk pembangkang. Pentas ceramah diceroboh dan dirobohkan sesedap hati mereka. ISA dan OSA pula dikekalkan sebagai agenda menakut-nakutkan rakyat. Apabila tergugat, yang menjadi mangsanya sudah pastilah pemimpin pembangkang. AUKU pula adalah pengawal keselamatan utama mahasiswa di kampus-kampus. Mangsa AUKU pasti mendapat mimpi ngeri dengan tindakan dibuang kampus, digantung pengajian atau amaran-amaran tertentu. Selain itu, rakyat terus dibiarkan terhimpit dengan kesusahan. Dengan kenaikan harga barang keperluan, harga minyak petrol yang naik hampir setiap tahun, tol, menghapuskan biasiswa, pelbagai cukai lain dikenakan. Rumah-rumah rakyat yang dibina berpuluh tahun dianggap setinggan dan dirobohkan sesuka hati, kemiskinan bandar tidak diubati, manakala dasar gaji minimum tidak dilaksanakan sebagai bukti rakyat dibiarkan kesusahan. Kekayaan negara diagihkan sesama mereka dan hanya cebisan diberikan kepada rakyat atas nama wang ihsan. Pemerintah pula hidup bermewah dengan membelanja duit rakyat di luar negara. Pemerintahan negara diserahkan secara warisan sesama mereka. Dalam keadaan demikian, sukar untuk rakyat menghirup udara demokrasi yang bersih di Malaysia. Mampukah rakyat bertahan dengan kehidupan sedemikian, dan berapa lama lagikah pemerintahan ini akan terus bertakhta? Atau mungkinkah revolusi di dunia Arab akan menyusul di Malaysia...? Mohamad Suhaimi Abdul Aziz Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan |