Islamic Fashion Show Bercanggah Dengan Islam (Ust Zaharudin)
'Islamic   Fashion Show' telah dianjurkan beberapa kali sebelum ini, namun   penganjuran ketika itu tidak mendapat sebarang respon dari cendiakawan   Islam, mungkin disebabkan fesyen-fesyen yang ditayangkan tidak begitu   melampau. Ataupun ia tidak sampai ke pengetahuan golongan ini.
Namun   pada tahun 2010, bertempat di sebuah negara bukan Islam, fesyen yang   ditayangkan sudah jauh melampaui batasan. Berdasarkan gambar-gambar yang   tersiar di media dan internet, pertunjukan fesyen yang dianjurkan   adalah 'clear cut' bercanggah dengan Islam dan tidak layak diberi nama   'Islamic'. Malah ia sudah termasuk di dalam kategori mempersendakan   Islam.
Kita   menyedari, pihak penganjur mensasarkan keuntungan jualan lalu cuba   meraih perhatian dan kelainan melalui penganjuran ini. Namun mereka   sepatutnya lebih sensitif dalam menggunakan nama ‘Islam’ bagi perniagaan   dan program mereka. Cuba bandingkan :-
- Kita melihat bagaimana kewangan dan perbankan Islam di kawal oleh para ulama sedunia agar apa yang ditawar benar-benar secocok dengan kontrak-kontrak muamalah Islam, sama ada secara mikro dan makro. Itulah yang sewajarnya dilakukan apabila mereka menggunakan nama ‘Islam’ dalam produk perniagaan dan pembiayaan kewangan mereka.
- Kita juga dapat melihat sebarang penggunaan tanda halal juga mesti melalui suatu piawaian yang digariskan oleh JAKIM dan badan-badan yang diiktiraf di dalam dan luar negara.
- Malah penggunaan nama ‘Buffet Ramadhan’ juga dipantau dengan baik sekali oleh pihak JAKIM.
- Sesebuah unversiti yang ingin menawarkan apa sahaja kursus yang mempunyai label Islam, mereka akan dipastikan oleh lembaga akreditasi agar mempunyai tenaga pengajar bertauliah dan berkelayakan rasmi dalam ilmu Shari’ah. Susunan silibusnya juga mesti dipantau agar tiada yang menyeleweng.
- Organisasi politik yang ingin meletakkan nama Islam pada parti mereka, perlu mendapat restu majlis raja-raja yang merupakan ketua agama bagi negeri-negeri.
- Penceramah-penceramah yang ingin berceramah di khalayak awam juga turut dimestikan untuk mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri.
Pihak penganjur perlu sedar menggunakan label ’Islam’ untuk fashion show mereka adalah tindakan offensive atau menyerang kesucian Islam dan menyakitkan perasaan umat Islam.
Tindakan itu sekaligus menyelewengkan ajaran Islam berkaitan displin pakaian. Ingin saya nasihatkan, kepada penganjur dan semua fashion designer   beragama Islam yang terlibat sebelum ini, wajiblah kalian menghentikan   penyertaan dalam pertunjukan terbabit di masa akan datang, jika ia  masih  tidak dikawal. Ia berdasarkan firman Allah :-
وَقَدْ  نَزَّلَ  عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ  يُكَفَرُ  بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى  يَخُوضُواْ  فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ  اللّهَ جَامِعُ  الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا 
Ertinya : Dan  sungguh Allah  telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa  apabila kamu  mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan  (oleh  orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka,  sehingga  mereka memasuki perbincangan yang lain. Karena sesungguhnya  (kalau kamu  berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka.  Sesungguhnya  Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Neraka Jahanam. ( An-Nisa : 140)
Jelas,  ayat di atas dan banyak lagi,  melarang apa jua unsur yang dianggap  membantu menaikkan lagi sesuatu  maksiat. Maka, kehadiran dan penyertaan  ke majlis tersebut adalah  ditegah oleh Allah.
ENGKAR SENDIRIAN & PROMOSI
Saya  pasti, akan ada individu yang  mencemik bibir dan ‘meluat’ membaca  sebarang saranan seperti ini,  kononnya ia menyekat sifat keterbukaan  dan ‘close minded’. Ingin  ditegaskan, jika mereka tidak suka hukum  hakam berkaitan aurat,  menuduhnya beku, ketinggalan zaman dan kuno  serta lebih suka  menyanggahinya dan membuka aurat. Biarlah dosa itu  kekal di peringkat  peribadi mereka, untuk ditanggung secara individu di  alam barzakh dan  akhirat. Jangan sesekali mempromosinya agar orang  lain turut menjadi  sepertinya.
Apabila  itu dilakukan malah  di’organisasi’kan, ia telah memasukkannya ke dalam  satu sifat dan dosa  yang lebih berat. Dari hanya sebuah dosa biasa,  berkembang kepada sifat  dan ciri laku kaum munafiq, yang mana sifat  kumpulan ini adalah suka  merosakkan Islam melalui kata-kata dan  tindakan, namun dilakukan dengan  menggunapakai label Islam agar  objektif mereka terselindung.
Contoh jelas sifat ini boleh  dilihat di  dalam firman Allah berkaitan penubuhan Masjid Dhirar. Ia  adalah adalah  nama yang diberikan kepada sebuah masjid yang dibina oleh  puak Munafiq  di zaman Nabi s.a.w. Masjid tersebut hampir-hampir  dialu-alukan oleh  Nabi sehinggalah Allah swt menurunkan wahyu melarang  Nabi dari  mendirikan solat di dalam masjid tersebut. Firman Allah swt
وَالَّذِينَ  اتَّخَذُواْ  مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ  الْمُؤْمِنِينَ  وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللّهَ وَرَسُولَهُ مِن  قَبْلُ  وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللّهُ  يَشْهَدُ  إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ  أُسِّسَ  عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ  فِيهِ  رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ  الْمُطَّهِّرِينَ
Ertinya : Dan  (di antara orang-orang  munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan  mesjid untuk menimbulkan  kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk  kekafiran dan untuk memecah  belah antara orang-orang mukmin serta  menunggu kedatangan orang-orang  yang telah memerangi Allah dan  Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka  sesungguhnya bersumpah: ""Kami tidak  menghendaki selain kebaikan."" Dan  Allah menjadi saksi bahwa  sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam  sumpahnya) ( At-Taubat :  107)
Allah sendiri menerangkan tujuan  dan  objektif masjid ini iaitu untuk menimbulkan kemudaratan,  kekeliruan  kepada umat Islam, dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam  dengan  fitnah-fitnah dan tuduhan mereka sebagaimana yang pernah  dilontarkan  kepada ummu Mukmini Asiyah r.a.
Dari  tindakan Rasulullah menjauhi masjid  itu, ini jelas menunjukkan Nabi  sendiri menunjukkan sunnah boikot dan  menyekat diri dan tentunya para  sahabat yang lain dari mendirikan solat  di masjid berkenaan. Justeru,  majlis pertunjukan fesyen ini adalah  persis masjid dhirar, digunakan  nama dan label Islam tetapi  mengkehendaki kemaksiatan, kemudaratan  kepada Islam atau hanya mementingkan ketamakan peribadi tanpa mengira jika ia boleh memudaratkan Islam.
Justeru, ingatan buat  penganjur, penaja, fashion designer   dan jemputan, dari sepatutnya hanya terhad satu dosa, jangan sesekali   menggandakannya kepada ribuan dan jutaan. Penganjuran fashion show yang   dilabel dengan nama Islam seperti ini, sesungguhnya amat merosakkan  imej  sebenar Islam.
PERTUNJUKAN MELAMPAUI BATAS
Islamic  Fashion Show, khususnya yang  dianjurkan pada tahun bulan Ogos, 2010  yang lalu, bukan sahaja melampaui  batasan penutupan aurat yang  diajarkan oleh Nabi. Malah ia juga  bercanggah dengan kefahaman  sebahagian pendokong ajaran Islam liberal  itu sendiri. Saya tidak perlu  menyertakan gambarnya di sini kerana  semuanya berteraburan dan boleh  didapati dengan mudah di media dan  internet.
Sebagaimana kita faham, sebahagian pendokong Islam liberal tidak meyakini rambut wanita sebagai aurat, justeru hampir semua mereka sama ada tidak bertudung langsung atau bertudung secara tidak sempurna.
Namun apa yang dipersembahkan di Islamic fashion show itu telah lebih jauh melampaui kefahaman kumpulan itu apabila ia   bukan sahaja tidak menutup rambut dengan sempurna malah, menggunakan   nama nabi Muhammad di pakaian seksi mereka, memaparkan kaki, betis,   belahan buah dada, peha, bentuk tubuh, belakang tubuh dan dada secara   terangan dan menamakannya sebagai Islam.
Saya telah menyemak kesohihan gambar-gambar tersebut, dan terbukti   gambar-gambar yang paling menyeleweng seperti berbaju dengan nama   Muhammad, kain singkat, terdedah dada dan yang dinyatakan di atas   sememangnya wujud di pesta fesyen 'Islam' di Monaco itu. 
 Ia bukan super impose atau rekaaan menggunakan teknik fotographi. Sebahagian sumber asal gambar terbabit boleh dilihat di sini. Selebihnya anda boleh mencari cari sumber gambar di internet tanpa perlu saya menyertakannya.
Menurut hemat saya tiada  pandangan dari  mana-mana mazhab Islam yang boleh diguna pakai untuk  menghalalkan  tindakan tersebut, semuanya pasti mengharamkannya, sama  ada kumpulan  Wahabi, Salafi, Ahli hadis, Khalafi, Ahbash, Pondok,  Pesantren, Syiah,  Zohiri, ahli Tasauf dan lainnya.
Saya  bimbang selepas ini mereka  menggunakan ayat Al-quran di seluar dalam  dan bikini rekaan kreatif  mereka lalu dipertontonkan kepada umum,  menjadi hidangan majlis Islamic  fashion show.! Oleh itu fashion show ini bukan sahaja salah di sudut pandangan ulama Islam, malah juga salah pada pandangan kumpulan wanita Islam liberal.
Saya sedari ada fashion designer  muslim  yang menyertai pertunjukan itu merasakan festival ini adalah  medan besar  untuk melariskan produk masing-masing, menguatkan jenama  dan menambah  keuntungan perniagaan. Namun mereka perlu sedar, apabila  majlis 'gilang  gemilang' itu dicemari oleh unsur penghinaan terhadap  Islam, majlis  sebegitu bukan menambah keuntungan dan berkat perniagaan,  malah  memalapkan berkat dan menjauhkan peniagaan dari ruh Islam yang   sebenarnya. Nabi pernah menegur individu yang berniaga di dalam masjid   dengan kata baginda :
إذا رأيتم من يبيع أو يبتاع في المسجد، فقولوا: لا أربح الله تجارت
Ertinya  : Apabila kamu melihat seseorang  berniaga di dalam masjid, katakan  kepadanya : Semoga Allah tidak  memberi keuntungan kepada perniagaanmu” (  Riwayat Al-Tirmidzi)
Adakah  peniaga muslim yang menyertai  pertunjukan fesyen yang menghina Islam  ini, ingin kami katakan demikian  kepada perniagaanmu?. Sudah tentu ia  tindakan yang valid kerana  pertunjukan itu lebih berat mudaratnya  berbanding meniaga di dalam  masjid. Kedua-duanya sama dari sudut  menjauhkan manusia dari Allah di  tempat yang sepatutnya berzikir.  Fikirkan..
JATUH MARUAH
Tidak  sedarkah mereka, penganjuran  seperti ini sebenarnya menjatuhkan maruah  dan kedudukan tinggi wanita.  Di manakah pejuang martabat wanita?.  Adakah mereka layak dijadikan bahan  tontonan lelaki dengan pakaian  pelik atas nama fesyen.
Sukakah  mereka, penonton lelaki ibarat  raja yang dihidangkan pemandangan  hamba-hamba wanita dengan pelbagai  pakaian, mendedahkan kecantikan  masing-masing?.
Lebih pelik,  dimanakah isteri-isteri  kepada suami yang menghadiri pertunjukan itu.  Adakah dia bahagia apabila  suaminya hadir dan membandingkan tubuhnya  dengan tubuh ramping para  model wanita yang tiada malu itu?.
Kalau kita merasa benci dan marah apabila pelukis kartun Denmark mencaci Nabi melalui kartunnya
Ahli parlimen Belanda menghina Al-Quran melalui filem pendeknya, 'Fitna',
Tentera Amerika menghina Islam dengan filem, dokumentari dan serangan roketnya,
Salman Rushdi menghina Nabi melalui tulisannya,
Kini  tindakan menganjur, menjaya dan  menyertai pertunjukan fesyen ini juga  adalah sama kategorinya. Semanya  adalah sangat ‘menyerang’ kesucian  Allah, Nabi dan Islam, menyelewengkan  manusia dari Islam sebenar dan  secara sedar atau tidak, menghina Islam.
MENGAPA BARU SEKARANG?
Ada  yang bertanya, mengapa sekarang baru  bising-bising sedangkan program  ini telah berlangsung tahun 2009  bertempat di sebuah hotel  di ibu  kota, manakala pada bulan Ogos 2010  yang lalu pula dilangsungkan di  Monte Carlo, Monaco.
Jawapnya, yang salah tetap perlu  ditegur  jika disedari, tidak kira sama ada lewat atau cepat. Ia perlu  agar ia  tidak diulangi pada masa akan datang. Khususnya apabila founder  dan  pengerusi Islamic Fashion Festival ini adalah seorang lelaki yang  saya  rasa beragama Islam dari Malaysia. (Baca sini) dan info rasmi Islamic Fashion Festival.
Melihat  ia sudah hampir dijadikan  upacara tahunan dan pertunjukannya pada  tahun 2010 yang lalu menampilkan  fesyen yang semakin melampau  (berbanding sewaktu festival 24 November  2009). Umat Islam yang  prihatin, perlu menyuarakan bantahan ini juga  agar penganjur  membatalkan road show festival ini atau paling tidak,  mengugurkan nama  ‘Islam’ pada festival mereka.
Menurut jadualnya ia akan dilaksanakan lagi tahun hadapan di Turki pada 10 februari 2011.
Kita  berharap akan ada individu dan  pimpinan prihatin yang mempunyai  hubungan dengan Perdana Menteri Turki  dapat berbuat sesuatu, sebelum  Islam dihina sekali lagi oleh  penganutnya, disorak sorai oleh  musuh-musuh Islam seluruh dunia. Tidak  perlu lagi nama nabi Muhammad  dan Islam dibusukkan oleh musuh Islam di  Denmark atau Belanda, Amerika,  Israel dan lainnya. Kini hanya perlukan  orang Islam sendiri.
JANGAN SAMPAI MALAYSIA DITUDUH MENGHINA ISLAM
Kita  tidak mahu akan sampai satu ketika  umat Islam seluruh dunia  berdemonstarsi di jalan dan kedutaan Malaysia  kerana alasan menghina  Islam. Sebagaimana demonstrasi besar-besaran  dilakukan kepada kerajaan  Denmark dan Belanda suatu ketika dahulu. Jika  itu berlaku, imej  Malaysia pasti tercalar dengan hebatnya.
Jika  ingin diteruskan, mereka mestilah  melantik beberapa orang mufti atu  cendiakwan Islam sebagai pemantau  kepada semua design yang ingin  dipamerkan. Jika tiada seorang mufti dan  cendikiawan Islam pun yang  sudi untuk menjadi pemantau dek kerana  semuanya membantah dan menolak,  maka tiadalah kelulusan untuk  menggunakan nama ‘Islam’ pada pertunjukan  fesyen itu.
Kerana itu, semua  cendiakawan dan ilmuan  Islam, khususnya pihak yang memegangkan tampuk  kuasa agama adalah  bertanggungjawab untuk menasihatkan sama ada secara  sulit atau terbuka,  menurut kadar kemampuan mereka.
Saya  sedar, apabila isu ini dikaitkan  dengan politik, sebarang teguran akan  dilihat teguran politik. Hasilnya  ia sukar diterima walaupun BENAR. Ia  juga akan dipandang berat sebelah  oleh segolongan orang, sebab itu  saya kira tidak perlu bertubi-tubi  mengaitkannya dengan politik  kepartian.
Ia adalah hasil sebuah  kejahilan global,  merentasi politik kepartian dan mesti dibetulkan  secara amanah oleh  ulama Islam secara global dan tidak tertumpu kepada  menyalahkan  mana-mana parti politik secara khusus. wallahu'alam.
Sebarang caci maki politik kepartian tidak dialukan di sini. Hanya komentar berdasar hukum & sensitiviti agama sahaja. Please.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
22 Oktober 2010
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 Catatan
Catatan
 
 
 

 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.