Hari ini penulis upahan Umno mendakwa kononnya duit STDC telah susut dari RM4 juta pada Mac 2008 hingga berbaki RM300 ribu pada Mac 2010. Setelah perkara ini dirujukkan kepada ahli-ahli lembaga pengarah STDC, fakta tersebut adalah palsu dan rekaan semata-mata. Ini kerana mengikut laporan kewangan tahunan STDC, baki atau untung terkumpul pada 31 Disember 2007 ialah RM4,779,743. Daripada tarikh 1 Januari 2008 hingga waktu pilihanraya umum ke 12, wang tersebut telah dibelanjakan sebanyak RM1,999,778.60. Kebanyakannya untuk program politik BN.
Untung terkumpul atau nilai reserve sama sekali tidak boleh dilihat pada bulan 31 Mac 2008, kerana pengauditan hanya dilakukan pada 31 Disember 2008. Begitu juga nilai reserve tidak boleh dilihat pada 31 Mac 2010.
Untung terkumpul pada 31 Disember 2008 ialah RM4.324 juta. Umumnya ia jauh lebih baik dari 2007 kerana ia berlaku selepas STDC terpaksa membayar hutang-hutang yang banyak yang ditinggalkan oleh ahli lembaga pengarah yang lalu di samping hampir RM2 juta dilaburkan untuk kepentingan politik BN.
Untuk melihat untung terkumpul bagi tahun kewangan 2010 pula, mestilah selepas pengauditan dibuat bagi tempoh berakhir pada 31 Disember 2010. Tidak betul sama sekali dengan melihat baki tunai dalam bank pada hari tertentu dalam bulan Mac maka penilaian dan ‘penghakiman’ prestasi syarikat pun dibuat.
Sebenarnya saya tidak perlu menghuraikan jawapan berdasarkan fakta dan angka terhadap sebuah tuduhan palsu. Namun dalam dunia yang bilangan orang cerdiknya sangat ramai, maka memberi jawapan yang tepat lagi jujur seperti ini, tentulah dapat mengesahkan bahawa pihak yang membuat tuduhan itu jahat dan kurang cerdik.
Mereka menuduh wang STDC difaraidkan untuk kroni PAS yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah, walhal semua ahli lembaga pengarah kini hanya menerima elaun menghadiri mesyuarat iaitu RM750 setiap kali mesyuarat. Dalam setahun biasanya hanya tiga kali mesyuarat, bermakna elaun setiap ahli lembaga pengarah hanya RM187.50 sebulan!
Di zaman BN, setiap ahli lembaga pengarah menerima elaun tetap RM2,000 sebulan di samping RM1,000 setiap kali menghadiri mesyuarat. Mereka ialah Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Dato’ Ariffin Man, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, Encik Zubir Zabidi, Encik Mohamad Radzi Ayob, Puan Marlia Abd. Latiff dan Puan Sharifah Adawiyah Syed Ismail. Semuanya pemimpin politik Umno, sedangkan kini lantikan ahli lembaga pengarah adalah berdasarkan professionalisme mereka bukan kerana kroni.
Episod penyalahgunaan wang GLC di zaman BN, khususnya STDC, sangatlah panjang catatannya. Buat sementara biarlah kita fokuskan kepada penyelewengan sewaktu berlangsungnya pilihanraya umum ke 12.
Banyak penyelewengan STDC saya huraikan dalam dua keluaran lalu. Terdapat satu lagi fakta yang mengejutkan ialah dalam dua bulan pertama tahun 2008 (menjelang pilihanraya umum) STDC telah membiayai lapan kali mesyuarat dengan kos mengadakan mesyuarat tersebut keseluruhannya ialah RM78,270. Sebahagian besar perbelanjaan tersebut adalah untuk makan.
Secara puratanya (jika mesyuarat tersebut adalah mesyuarat ahli lembaga pengarah) maka setiap kepala dijamu makanan bernilai RM815.00 setiap kali mesyuarat. Apa jenis makanan agaknya begitu mahal sekali?
Secara terperinci berikut adalah maklumat perbelanjaan STDC pada bulan Januari dan Februari 2008, khusus di bawah perkara
‘Mesyuarat di Naka’:Berdasarkan tarikh, tempat dan perbelanjaan, tidak lojik ia adalah mesyuarat ahli lembaga pengarah. Ada baiknya juga kita membuat persepsi yang rambang kononnya itu adalah mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan sebanyak lapan kali, supaya nanti pihak yang terbabit akan menafikannya. Jawapan yang mungkin diberikan begini, “Itu adalah tarikh pembayaran di buat, bukan tarikh mesyuarat dan bukan pula mesyuarat lembaga pengarah.” Jika melihat kepada semua perbelanjaan itu berada di bawah satu tajuk iaitu ‘Mesyuarat di Naka’, bermakna bukan lapan kali bermesyuarat tetapi hanya sekali. Tentu ia lebih menjolok mata apabila kos untuk hanya sekali bermesyuarat ialah RM78,270.00! Jika pun ia mesyuarat sebuah parti politik maka kos tersebut adalah terlalu tinggi bagi sebuah mesyuarat yang diadakan di Daerah Padang Terap.
1/1/2008 – RM5,810.00, 1/1/2008 – RM26,150.00,
1/1/2008 – RM10,000.00. (Satu hari tiga kali mesyuarat?)
13/2/2008 – RM10,000.00,
13/2/2008 – RM7,905.90,
13/2/2008 – RM4,610.00,
13/2/2008 – RM11,700.00,
13/2.2008 – RM10,000.00 (Satu hari lima kali mesyuarat?)
Persoalannya, adakah wang STDC telah disalahgunakan untuk menguruskan mesyuarat sebuah parti politik?
Mereka berdegar-degar menuduh PAS menyalahgunakan wang GLC untuk membiayai aktiviti parti, sekarang biar mereka pula menjelaskan tuduhan bahawa merekalah penyeleweng duit GLC untuk membiayai program politik. Sila jawab, jangan tak jawab.
Timbul lagi persoalan mengapa pihak-pihak tertentu tidak buat laporan polis atau SPRM terhadap para penyeleweng itu.
Sejak mengambil-alih pentadbiran pada Mac 2008 hingga ke saat ini, belum ada satu pun laporan polis yang dibuat oleh pihak Pakatan Rakyat terhadap mereka. Sebenarnya ada ‘muslihat besar’ mengapa laporan belum dibuat dan seluruh rakyat akan tahu jawapannya nanti.
Alang-alang pembangkang di Kedah sudah mula membuat serangan meriam buluh bertubi-tubi, mereka kena bersedialah pula terima serangan balas. Pendedahan bertulis ini sebenarnya belum berakhir.
Banyak lagi penyelewengan dalam GLC yang akan dilondeh. Butirannya sangat banyak. Lebih dari enam kotak."
detikdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.