KUALA LUMPUR, 26 Julai: Kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaq atau Zunar serta Malaysiakini memfailkan tindakan mahkamah terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) ekoran tindakan mengharamkan buku kartun tulisan Zunar dan rakan-rakannya. Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini dengan diwakili oleh enam peguam, kata Zunar dan Premesh Chandran bagi pihak Malaysiakini. (Gambar: Zunar dan Premesh dalam sidang media selepas memfailkan saman mereka di mahkamah tinggi hari ini) Alasan yang mereka berikan adalah mereka tidak dapat memahami bagaimana kartun-kartun politik yang secara satira memberi komen mengenai politik serta ahli-ahli politik Malaysia boleh mengancam ketenteraman awam. Mereka juga mendakwa, tidak ada bukti bahawa terancamnya ketenteraman awam yang ditunjukkan kepada mereka oleh pihak kerajaan dan mereka tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan sebelum pengharaman tersebut dibuat. Enam peguam yang mewakili mereka adalah Edmund Bon Tai Soon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga, Aston Paiva dan Fahri Azzat. Zunar dan Malaysiakini memfail dua permohonan berasingan kepada mahkamah untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri yang menharamkan dua buku, “1 Funny Malaysia” and “Perak Darul Kartun” yang mana kedua-duanya menampilkan kartun-kartun politik karya Zunar. Pengharaman tersebut adalah di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan penerbitan tidak sesuai) (No.5) Order 2010 [P.U.(A) 208 / 2010] yang digazetkan pada 17 Jun 2010. Pengharaman ini dilakukan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman bin Yusop "bagi pihak dan atas nama Kementerian Dalam Negeri." Satu-satunya alasan pengharaman tersebut dinyatakan dalam arahan itu sendiri, iaitu kedua-dua buku dikatakan “boleh mengancam ketenteraman awam”. Arahan tersebut dikatakan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. 1Funny Malaysia adalah koleksi karya-karya pilihan kartun Zunar yang tersiar dalam ruangan Cartoonkini dalam portal web Malaysiakini dari tahun 2005 hingga 2009. Perak Darul Kartun buku terbitan syarikat yang dimiliki Zunar sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd menampilkan karya-karya Zunar bersama beberapa kartunis dan penulis tempatan. Oleh kerana kedua-dua buku tersebut adalah berbeza dan diterbitkan oleh dua syarikat yang berbeza, kami dinasihatkan untuk memfail dua semakan kehakiman yang berasingan. ALASAN CABARAN Kedua-dua Malaysiakini dan Zunar berpendapat pengharaman tersebut adalah percubaan kerajaan untuk mengekang hak kebebasan bersuara dan menghalang hak kebebasan untuk bertukar-tukar pendapat serta idea diantara rakyat Malaysia. Kerana kedua-dua hak ini dijamin dalam Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, mereka berpendapat pengharaman ini adalah tidak wajar dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. "Kami juga berpendapat pengharaman ini adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan untuk membisukan kritikan terhadap polisi kerajaan dan Perdana Menteri sekarang," kata kenyataan bersama mereka berdua. Mereka juga tidak diberitahu sebarang alasan mengenai pengharaman tersebut melainkan melalui kenyataan media bahawa buku-buku itu mengancam ketenteraman awam. Bagi mereka, tindakan kerajaan mengharamkan buku-buku ini tidak konsisten dengan representasi yang dibuat kepada dunia mengenai hak asasi. Tambah mengecewakan Malaysia adalah ahli The United Nation’s Human Rights Council bagi penggal 2010 hingga 2013, kata mereka. TUNTUTAN Mereka mencabar pengharaman ini atas alasan berikut: a. Pengharaman ini tidak sah, kerana ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. b. Pengharaman ini tidak sah kerana ia bersifat ultra vires (tidak terdapat dalam skop) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 memandang buku-buku tersebut tidak mengancam ketenteraman awam. c. Pengharaman ini melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana kami tidak diberi peluang memberi penjelasan sebelum pengharaman ini dibuat dan tidak diberitahu mengenai alasan pengharaman. d. Pengharaman ini adalah satu bentuk tindak balas yang tidak wajar terhadap buku-buku kami. Sehubungan itu, mereka memohon arahan mahkamah seperti berikut: 1. Arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku tersebut. 2. Pengistiharan bahawa pengharaman tersebut adalah tidak boleh diterima pakai dan tidak sah serta tidak boleh dikuatkuasa kerana ia bersifat ultra vires bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan bertentangan dengan hak kami yang dijamin dalam Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan. 3. Kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut. Harakahdaily |
Isnin, Julai 26, 2010
Zunar dan Malaysiakini fail saman terhadap KDN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.