Ahad, Jun 06, 2010
Bau jenazah anggota sukarelawan sewangi kasturi
ALLAH itu Maha Berkuasa. Kunfayakun, jika dikata jadi, pasti akan berlaku. Kuasa Allah juga jelas ditunjukkan ketika kejadian serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara Ahad lalu yang disaksikan bukan seorang malah hampir kebanyakan sukarelawan Malaysia yang turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza itu.
Timbalan Presiden Yayasan Amal, Jamuliddin Ilias cukup terpegun apabila melihat sekumpulan ikan lumba-lumba berenang laju mengiringi kapal itu sejam sebelum serangan dimulakan seakan memberi tanda sesuatu yang buruk sedang hampir di belakang mereka.
“Sepanjang perjalanan, ada juga kami memancing, tetapi jangankan dapat ikan, bayangnya juga tiada, tetapi entah dari mana datangnya, tiba-tiba sekumpulan ikan lumba-lumba ada di belakang kapal mengiringi kami. Ia bagai satu tanda.
“Banyak sebenarnya kejadian pelik yang dapat dilihat sepanjang insiden itu. Antaranya, angin kuat yang muncul tiba-tiba setiap kali komando Israel membaling bom asap pemedih mata. Banyak yang mereka lontar tetapi satu pun tak jejaskan kami. Tak ada seorangpun cedera atau pedih mata.
“Tiap kali bom itu meletup, ada angin kuat menolak asap ke arah lain. Beberapa orang di kalangan kami pula boleh dengan selamba mengutip bom kosong itu umpama mengutip bertih jagung dan membuangnya ke laut. Tak langsung terasa gentar,” katanya.
Menurut Pengerusi Aqsa Syarif, Hasanuddin Mohd Yunus, pula ia disifatkan sebagai bantuan Allah yang mengirimkan tenteranya untuk menghulurkan bantuan. Malah, kejadian ikan lumba-lumba itu juga membuktikan kekuasaan Allah.
Jamuliddin menyambung ceritanya dengan berkongsi satu senario pelik dan lucu di mana ramai tentera Israel yang lari dan tak berani menghampiri beberapa sukarelawan yang hanya mempertahankan diri menggunakan botol air mineral.
“Bukannya berbahaya pun. Sekadar baling botol mineral ke bot mereka. Kelam kabut mereka lari. Apabila mereka berpatah balik, kami mengacah dengan tangan kosong, itupun mereka cuba mengelak.
“Paling tidak boleh dilupakan, ketika kami semua sudah ditawan, ada beberapa rakan lain yang cedera parah diangkut dengan pengusung ke helikopter dan melalui kami. Terharu rasanya kerana meskipun kecederaan mereka sangat parah, tiada langsung tanda kesakitan di wajah mereka.
“Malah mereka masih tersenyum dan melambai gembira ke arah kami. Salah seorang daripadanya dikhabarkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Doktor perubatan dari Haluan Malaysia, Dr Arba’ai Shawal, pula masih jelas terbayang bau wangi umpama kasturi yang dihidu dari tiga jenazah sukarelawan Turki sebelum beliau melangkah keluar dari Mavi Marmara.
“Saya pernah ke gua di mana menjadi tempat nabi disembunyikan ketika perang Uhud yang baunya masih kuat sehingga kini. Bau tiga jenazah itu memang sama dengan bau itu. Sebak di hati saya kerana wajah mereka juga tidak seperti baru menempuh kesakitan. Nampak seakan tersenyum,” katanya.
Burung layang-layang di tengah laut dan hinggap di atas kapal pastinya pelik. Ini kerana burung itu selalunya terbang berkawan dan tidak ada di tengah laut. Namun, ia disaksikan sukarelawan Malaysia dari Muslim Care Malaysia, Halim Muhamad Redzuan beberapa jam sebelum serangan udara dilancarkan tentera Israel.
“Ia mungkin nampak seperti tidak ada apa-apa petanda tetapi bagi saya ia cukup pelik dan luar biasa. Apatah lagi, ia muncul beberapa ketika sebelum serangan udara dilancarkan,” katanya.
Mustapa Mansor dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia pula menyifatkan tidak ada apa yang lebih menyentuh perasaannya dan di luar kebiasaan apabila melihat beberapa Ahli Parlimen dari pelbagai negara sanggup tidur di lantai bersama sukarelawan lain sebagai tanda bersatu berjihad untuk penduduk Palestin.
Sumber: BHarian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.