Sabtu, Januari 09, 2010
JUARA RAKYAT HANYA RETORIK PEMERINTAH SEKULAR
Hendak menjadi juara di hati rakyat? Bagaimana jika rakyat menginkan perkara-perkara yang berbau maksiat? Misalnya, rakyat menginkan kilang arak agar diperbesarkan, dan jualannya juga diperluas. Adakah PEMERINTAH akan menuruti permintaan tersebut demi menambat hati rakyat? Atau bagaimana jika rakyat menginginkan pelbagai perkara maksiat lainnya, lalu dipenuhi oleh pemerintah ? Dahsyat bukan? Kemaksiatan bakal bermaharajalela, dan masyarakat akan semakin jauh dari rahmat Allah SWT.
Memang beginilah lumrah yang terjadi di kalangan para pemimpin di kalangan umat Islam yang berfikir dalam kerangka idealisma sekular. Dan tidak jarang ini berlaku kepada para politikus yang kononnya memperjuangkan Islam. Ini bukanlah perkara yang retorik dan tidak berpijak kepada fakta. Ini kerana, sesebuah parti politik yang berjuang di dalam Sistem Demokrasi akan bertungkus lumus secara bersungguh-sungguh agar hati rakyat ditawan (walau pada hakikatnya banyak kehendak rakyat yang tidak dipenuhi), dan seterusnya memilih dan mengundi mereka di dalam pilihanraya, yang akan menjadikan mereka berkuasa di dalam sistem pemerintahan. Tidak kira dengan jalan apa pun, segala cara dan taktik akan digunakan dengan semaksima mungkin untuk mencapai tujuan ini. Di sisi lain, mereka akan cuba memburuk-burukkan parti lawan, agar pengaruh lawan berkurang, sekaligus kemenangan akan berpihak kepada mereka. Parti sekular dengan semangat asabiyyahnya, parti Islam dengan penggadaian maruahnya. Inilah yang berlaku di seluruh dunia, saban hari dan saban tahun. Sampai bilakah rakyat umumnya, dan umat Islam khususnya akan dipertontonkan dengan pertelingkahan, perebutan kuasa dan penggadaian agama Islam yang suci ini?
Jika kita telusuri sirah Rasulullah SAW, baginda tidak pernah cuba untuk menjadi juara di atas kehendak masyarakat ketika itu, baik ketika sebelum berdirinya Negara Islam (di Makkah), atau setelah berdirinya Negara Islam (di Madinah). Majoriti masyarakat Makkah menolak Islam, dan pemuka-pemuka Quraisy menawarkan harta, takhta dan wanita kepada Rasulullah, namun ditolak mentah-mentah oleh Nabi kerana ia bertentangan dengan kehendak Islam. Begitu juga ketika Saidina Umar dan beberapa orang sahabat lain yang tidak bersetuju dengan Perjanjian Hudaibiyah, kerana menganggap ia berat sebelah, tetapi Rasulullah tetap meneruskan perjanjian tersebut. Hasilnya, syiar Islam semakin berkembang ketika itu. Beginilah sikap yang perlu dicontohi dan diteladani oleh kita sebagai orang-orang yang beriman. Kita harus bersungguh-sungguh menjadi ’Juara Syariat’ dan bukannya ’Juara Rakyat’.
”... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [TMQ Al-Baqarah (2):216].
Sumber : HT
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.