Jumaat, Januari 22, 2010
Mahathir 'agong tanpa tengkolok' -Fathi Aris Omar
Selepas menimbulkan kegemparan, sehingga ditahan Kementerian Dalam Negeri (KDN), buku Barry Wain tidaklah terlalu mengejutkan dan tidak pula benar-benar "baru".
Cuma ia mungkin menarik bagi karya jenis biografi seorang tokoh politik apabila susunannya itu diulas dengan kritis oleh seorang bekas editor kanan.
Sebahagian besar Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times rangkuman maklumat yang sudah diketahui umum, khususnya di kalangan peminat tegar politik sejak selepas merdeka, termasuk melalui ceramah politik, gosip dan terbitan alternatif.
Generasi Lim Kit Siang atau Anwar Ibrahim misalnya, apatah lagi pemimpin politik berstatus mereka berdua, mungkin tidak terpukau dengan buku setebal 363 halaman ini.
Jadi, saya hairan kenapa KDN perlu memerap buku tersebut sejak beberapa minggu lalu.
Apakah rahsia yang hendak disembunyikan daripada kita, generasi muda politik yang baru belajar menggali sisi-sisi gelap Dr Mahathir? Apakah agenda tersirat KDN dan menterinya Hishammuddin Hussein – untuk menyelamatkan imej mantan perdana menteri itu?
Dengan menangguhkan pengedaran buku itu, kelihatannya kerajaan cuba menyelamatkan imej Dr Mahathir, atau legasinya, walaupun dengan mencemarkan imej Najib Razak sendiri – tokoh yang dikatakan, pada kalangan tertentu, warisan Mahathirisme!
(Dr Mahathir sendiri menggesa Malaysian Maverick diedarkan.)
Satu contoh bahan yang tidak mengejutkan itu: krisis Dr Mahathir dengan raja-raja Melayu seperti sering dirujuk sebagai episod pencemaran imej institusi istana pada 1992 hingga awal 1993. Pencemaran – di sisi pembangkang – bagi menunjukkan sikap hipokrit Umno yang sering pula melaung-laungkan membela istana.
Pada 18 Januari tahun itu, selepas serangan psikologi yang bertubi-tubi terhadap institusi raja, perlembagaan negara dipinda bagi membolehkan satu mahkamah khas dibentuk untuk mengadili sultan yang terlibat dalam salah laku di luar tugas rasminya.
Cara BN, yang dikepalai perdana menteri waktu itu, memburuk-burukkan raja khususnya melalui filem-filem klasik hitam putih di rancangan TV bersama rencana-rencana dan ulasan-ulasan politik di akhbar seolah-olah Umno atau BN sedang merencanakan projek pembentukan sebuah negara republik.
Tetapi Wain, yang menulis bab khas episod ini 'Agong yang tidak dimahkotakan', merumuskan betapa bekas PM itu tidak perlu sebuah republik kerana tindakannya melucutkan semua kehebatan istana berjaya mengangkatnya sebagai kepala negara berstatus 'agong'.
"The erosion of the rulers' stature and influence 'diminished their constraining role in tempering the exercise of executive powers', which Dr Mahathir proceeded to wield with unprecedented latitude.
"In a remade constitutional landscape, he had no need to contemplate a republic. He was the uncrowned king," catat bekas pengarang kanan Asian Wall Street Journal itu.
Walaupun insiden 1993 menjadi ingatan kolektif ramai aktivis muda politik, kebanyakannya pula sudah melupai atau tidak menghargai kepentingan insiden awal sedekad sebelumnya.
Insiden yang jauh lebih signifikan daripada mengekang kemelampauan institusi diraja seperti pindaan 17 tahun lalu. Dalam bahasa Dr Mahathir sendiri, sewaktu berucap bagi mengikis lagi martabat istana pada 1993, beliau berkata:
"Tetapi sekali lagi mengikut sistem di Britain, undang- undang hanya menjadi sah setelah ditandatangani oleh raja. Di Britain, ini tidak menjadi masalah kerana raja tidak mungkin menolak nasihat jemaah menteri.
"Tetapi di Malaysia perkataan nasihat, yang penggubal perlembagaan percaya akan mempunyai makna yang sama seperti di Britain dan juga di zaman penjajah, tidak ditafsirkan dengan jelas. Oleh itu pihak raja boleh menolak nasihat kerajaan.
"Jika Kerajaan diakui terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menentukan rakyat berkuasa, tetapi nasihat kerajaan berkemungkinan tidak diterima, ini bererti demokrasi berparlimen tidak wujud dan rakyat tidak berkuasa sepenuhnya.
"Dalam perkara-perkara tertentu bukan sahaja persetujuan Yang di-Pertuan Agong diperlukan, tetapi juga persetujuan Majlis Raja-raja."
Insiden 1983 mengubah sama sekali lanskap demokrasi Malaysia dengan membuang kuasa Istana Negara, dan Majlis Raja-raja Melayu, sebagai kuasa penyemak dan pengimbang – kuasa keempat seperti sering dikhayalkan oleh Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Dengan terhakisnya cap mohor diraja daripada rang undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Dr Mahathir boleh berbuat apa sahaja sesuka hatinya.
Pindaan perlembagaan 1983 ini pula diusaha dengan penuh sulit dan rahsia sehingga digelar Wain sebagai "kerahsiaan yang belum pernah lagi berlaku dalam kehidupan bernegara" di Malaysia.
Dengan lesen besar yang diperolehinya, bermula era baru kepemimpinan politik Dr Mahathir dan fasa-fasa gelap demokrasi negara.
Selebihnya, apabila kita merenung kembali ke belakang seperti analisis Human Rights Undermined: Restrictive Laws in a Parliamentary Democracy demokrasi kita telah menelusuri liku-likunya yang malang mulai tanggal itu ...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.