Masihkah mahasiswa itu menggugat pihak berkuasa?” Mungkin itulah antara barisan persoalan dan deretan pertanyaan pada 11 Mac nanti dalam forum ‘Mahasiswa Menggugat: Realiti atau Fantasi’.
Bertempat di Dewan Kuliah F, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), forum itu menampilkan barisan panelis; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM Prof Datuk Dr Ridzuan Othman, termasuk penulis buku ‘Mahasiswa Menggugat’ Prof Datuk Paduka Mohammad Abu Bakar.
Forum yang dijangka berlangsung pada 8 malam itu akan dipengerusikan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Abu Qassim Nor Azmi.
Di samping itu, menyentuh perkembangan isu pelajar hari ini, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya melihat mahasiswa hari ini perlu melebarkan gerakan mereka kepada gerakan kebudayaan.
“Kita melihat, gerakan mahasiswa hari ini tidak perlu banyak tertumpu dalam kegiatan politik sahaja, sebaliknya, mereka juga perlu mengambil bahagian dalam bidang-bidang lain juga,” kata beliau ketika dihubungi erapakatan.com baru-baru ini.
Yang lebih penting, tambah beliau, mahasiswa hari ini perlu menumpukan kepada usaha ke arah mengukuhkan akar budaya rakyat Malaysia yang baharu.
“Misalnya penjelasan ke arah menuju Malaysia Baru itu bukan cuma terhad kepada usaha memerangi rasuah, tapi ia mencakup kepada usaha membentuk akar budaya Malaysia yang baharu.
“Pada saya, Malaysia baru bukan hanya ditakrifkan sebagai negara yang bebas rasuah, tapi ia mesti pergi lebih jauh daripada itu, ia melibatkan pembentukan budaya baru yang dicipta oleh sarjana-sarjana, para cendekiawan dan ahli bijak pandai dalam masyarakat,” katanya.
-era pakatan-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.