TERKINI
Oleh Mohd Zuharman
KOTA BARU, 28 Mac —Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang ditahan polis Khamis lalu ekoran kenyataan mengenai pemecatan Pemangku Raja disambung reman selama dua hari sehingga esok.
Majestret Nurhaslinda Che Seman membuat keputusan itu pagi tadi.
The Malaysian Insider difahamkan polis Kelantan akan mengambil keterangan daripada pemberita-pemberita yang membuat liputan sidang media Wan Hashim, Khamis lalu.
Wan Hashim ditahan kira-kira sembilan jam selepas sidang media yang diadakan di Istana Mahkota mengumumkan pemecatan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
Wan Hashim tiba di mahkamah kira-kira 10.50 pagi dengan kawalan anggota polis.
Sementara itu peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Wan Hashim semasa ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya telah membangkitkan masalah berkenaan kesihatan Wan Hashim dan memohon agar beliau direman di hospital.
“Mereka (polis) pohon untuk tiga hari tapi mahkamah benarkan sehingga esok.
“Puan Majestret juga telah membuatkan satu perintah supaya Datuk (Wan Hashim) dibawa ke hospital selepas prosiding hari ini.
“Reman sehingga esok, pihak polis perlu membuat satu keputusan esok sama ada dituduh atau dibebaskan atas jaminan polis,” kata beliau ketika ditemui di pekarangan mahkamah hari ini.
Wan Hashim ditahan di rumahnya di Taman Sri Aman, Kubang Kerian dan disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar.
Laporan minggu lalu menyebut Wan Hashim, bekas setiausaha kerajaan negeri, telah dilantik sebagai Setiausaha Sulit tetapi dinafikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri.
Bagaimanapun susulan daripada pengumuman itu, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris masih kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota Majlis Perajaan Negeri pada 29 Mei lalu.
Dalam pada itu seorang ahli keluarga Wan Hashim yang dihubungi untuk diminta komen mengenai perkembangan hari ini menerima keputusan tersebut dengan hati yang lapang.
“Tuhan hanya satu, saya hanya mampu pasrah.
“Tak perlu saya beri komen banyak dalam kes ini, tunggu sajalah apa keputusannya nanti,” katanya ringkas.
Polis menahan Wan Hashim ditahan dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja.
Desas-desus mengatakan tangkapan tersebut berikutan satu laporan polis dibuat Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Kelantan, Shafien Ismail berhubung pengumuman penamatanjawatan Tengku Muhammad Faris.
Beliau ditahan di IPK Kelantan sejak pukul 8.40 malam Khamis lalu.
the malaysain insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.