Jumaat, Mac 12, 2010
Najib gagal menyingkir kudis-kudis DEB - Anwar
KUALA LUMPUR : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Presiden Umno, Najib Razak yang mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) pasti gagal kerana kudis-kudis lama dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini masih lagi berjangkit dalam pentadbiran BN.
Mantan Menteri Kewangan Malaysia itu turut menegaskan bahawa prinsip kejujuran dan sistem agihan kekayaan yang adil tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit seperti yang termaktub dalam Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang diperkenalkan Pakatan Rakyat tidak mampu disaingi oleh dasar ekonomi BN.
“Di sebalik pengumuman kononnya Model Ekonomi Baru akan diperkenalkan, rakyat ternyata menyedari kerajaan tidak akan berjaya menyingkir kudis-kudis lama yang menghinggapi akibat dari kelemahan serta pelaksanaan dasar seumpama Dasar Ekonomi Baru.
Saya yakin model baru ini tidak mampu menyaingi intisari mahupun kejujuran Agenda Ekonomi Malaysia dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menumpukan kepada pengagihan kekayaan secara adil tanpa mengira ras,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Beliau turut menyelar kerajaan BN yang gagal menangani kes rasuah selain sistem kehakiman yang gagal bersikap adil termasuklah mengganggu wakil rakyat PR.
“Pada masa yang sama rasuah semakin berleluasa dan institusi kenegaraan seperti kehakiman tidak berupaya menjamin keadilan buat semua.
Ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat saban hari diganggu dan tidak lekang diugut dari pelbagai arah.
Selain saya, sejumlah 14 Ahli Parlimen dan Adun PR diambil keterangan oleh pihak polis berhubung ceramah dan aktiviti lainnya.
Strategi menakut-nakutkan sebegini merupakan muslihat murahan dan pastinya ditolak rakyat," jelas Anwar.
Imej Najib dibantu ejen Israil
Anwar turut memberitahu proses memperbaiki imej Presiden Umno itu dibantu oleh ejen-ejen Israel dengan menggunakan dana rakyat berjumlah jutaan ringgit.
"Menggunakan khidmat syarikat APCO Worldwide sebagai perunding imej ternyata tidak membantu perdana menteri dan isteri, apatah lagi didedahkan media syarikat tersebut diterajui antaranya mantan duta Israel ke Amerika dan Jerman.
Lebih merumitkan keadaan 1Malaysia yang dilancarkan Najib dikaitkan dengan 1Israel.
Hari ini saya difahamkan SPRM juga melancarkan siri kempen untuk memulihkan imej.
Ratusan juta dihabiskan demi memulihkan imej.
Sedangkan cara yang paling mudah dan jimat ialah berpegang teguh kepada prinsip undang-undang, bebas dan tidak menurut kehendak elit pemerintah yang jelasnya semakin hari semakin terdesak,” tegas beliau diblognya.
-erapakatan-
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.