Rabu, Disember 16, 2009
RIBA?
Amaran Allah S.W.T.: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Jika tidak, Allah dan RasulNya mengisytiharkan perang terhadap kamu. Dan jika kamu bertaubat, maka bagimu pokok hartamu, agar kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”. (Al-Baqarah:278).
Kecelakaan riba ini turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan dalam satu hadis: “Riba mempunyai 72 pintu. Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seseorang lelaki berzina dengan ibunya sendiri.” (At-Tabrani, 7/158; Riwayat Al-Hakim).
Salah satu bentuk riba yang jelas diharamkan oleh Islam ialah riba yang terkait dengan amalan memberi hutang atau dinamakan sebagai Riba Al-Qard atau Riba Al-Duyun. Dalam konteks ini, syariat jelas memperincikan bahawa hutang atau pinjaman tidak boleh dikenakan sebarang caj tambahan sama ada bersifat faedah mahupun perkhidmatan. Prinsip ini turut dipertegaskan dalam satu hadis: “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjaman maka ia adalah riba”.
Majlis fatwa antarabangsa yang mengawal selia operasi sistem kewangan Islam seperti AAOIFI menyatakan bahawa, “semua faedah atau lebihan (daripada jumlah yang dipinjam) yang dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat pada awal kontrak ataupun dikenakan ketika kelewatan membayar balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan atau apa-apa manfaat lain dilarang dan adalah riba”.
Berkenaan dengan kos perkhidmatan pula, Majlis Syariah AAOIFI dan Majlis Fiqh Sedunia di bawah OIC (Persidangan Negara-negara Islam), mengeluarkan resolusi yang jelas dengan menyatakan bahawa caj bagi perkhidmatan hanya dibolehkan dengan syarat ia adalah kos sebenar pengurusan teknikal sahaja. Manakala caj yang dikenakan melebihi kos sebenar adalah haram.
Ini bermakna sebarang caj yang dikenakan mestilah berasaskan kos pengurusan yang sebenar dan bukannya sekadar meletakkan peratusan seperti 1 peratus, 2 peratus ataupun 3 peratus daripada jumlah pinjaman. Inilah yang dikatakan riba kerana manfaat diperoleh daripada nilai hutang yang diberikan dan bukannya berasaskan kos pengurusan sebenar.
Sebaliknya yang dibenarkan oleh Majlis Fatwa OIC tadi ialah apabila caj dikenakan berasaskan kos pengurusan sebenar tanpa terikat kepada nilai hutang peminjam. Sebagai contoh, sekiranya kos pengurusan sebenar (termasuk kos dokumentasi, peguam, cukai setem dan lain-lain) bagi setiap transaksi adalah sebanyak RM600. Maka caj tersebut boleh dikenakan kepada peminjam tanpa mengira jumlah atau nilai hutang yang diberikan.
Demikianlah perincian yang dilakukan oleh para ulama dalam memperhalusi isu riba dalam urusniaga kewangan khususnya dalam aspek pemberian pinjaman yang sudah menjadi asam garam kehidupan hari ini. Apa yang penting elemen riba tidak boleh dikompromi sama sekali dalam upaya mencari jalan keluar bagi mempermudahkan urusan kehidupan masyarakat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.