Ahad, Februari 14, 2010
Air mata lelaki
SAYA seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Saya meminati seorang gadis dalam kelas saya, saya kenalkan dia sebagai D. Sudah enam bulan saya mengenali D dan kami berkawan rapat sehinggakan saya jatuh hati dan mencintai D. Kami banyak persamaan dan serasi. Pernah beberapa kali saya meluahkan perasaan saya pada D. Saya katakan yang saya amat mencintai dia dan ingin menyunting dia menjadi kekasih hati saya buat selama-lamanya. D terima luahan hati saya dan meminta saya menunggu keputusan daripada dia selepas tamat belajar dalam tiga tahun ini. Saya terima syaratnya. Sepanjang perkenalan saya dengan D, banyak perkara saya buat semata-mata untuk merapatkan lagi perhubungan dengan D. Keluarga saya mesra dengan D dan menyuruh saya menjaga D dengan elok.
Suatu hari dia meminta saya hantar dia ke pudu raya untuk pulang ke kampung. Tiba-tiba ada seorang lelaki menunggu D dekat tempat menunggu bas. Sebelum ini ada sekali saya nampak D keluar jalan-jalan dengan L. Saya beranggapan mereka hanya kawan biasa saja. Selang dua hari hati saya berdetik hendak tanya siapa sebenarnya L pada D, terus terang D katakan yang L adalah kekasihnya yang baru dia kenal dua bulan yang lalu.
Putri, hati saya kecewa sangat dengan kata-kata D, kenapa dia suruh saya tunggu dia dalam tiga tahun ini? Kenapa dia rapat dan terlalu baik dengan saya? Dia sakit saya bawa dia pergi klinik. Sepanjang enam bulan banyak kenangan manis saya dengan D, terus-terang saya cakap, saya masih sayangkan dia walaupun dia telah buat saya begini.
Jatuh air mata saya apabila D berterus terang dan lukakan hati ini. Selepas semua ini berlaku D pernah telefon saya, dia tanya adakah saya masih sayangkan dia. Saya katakan 'ya' kerana saya tak nak tipu diri sendiri dan saya masih sayangkan dia. Kenapa daripada awal dia tidak bagi tahu semua ini, kenapa semua ini terjadi pada saya. Tinggal satu bulan lagi hendak daftar semester baru dan bagaimana saya hendak menatap wajah D hari-hari. Sedangkan dia telah lukakan hati ini. Putri tolonglah saya menghadapi semua ini. Saya masih sayangkan D dan mencintai dia.
n Jejaka Terluka, Johor.
Jejaka Terluka,
Jangan cepat berputus asa. Masa depan anda masih panjang lagi. Pada usia muda ini, anda boleh tumpukan lebih pada perjalanan masa depan. Berikan sepenuh perhatian pada pelajaran. Jangan kerana kecewa dalam percintaan, anda tertinggal dalam memburu cita-cita. Putri akui bukan mudah melupakan seorang gadis yang amat dicintai. Kenapa semua ini terjadi? Mungkin tempoh perkenalan yang singkat, anda tidak dapat mengenalinya lebih dekat. Enam bulan anda mengenali D dan berkawan rapat sehinggakan anda jatuh hati. Seharusnya, perkenalan tersebut lebih manis disulami dengan jalinan persahabatan. D sendiri meminta anda menunggu selama tiga tahun untuk dia memberi jawapan. Mungkin dalam tempoh itu dia merasakan anda berdua tidak boleh pergi jauh. Sebagai teman, anda perlu menghormati keputusannya. Anggaplah anda dan D tiada jodoh. Mungkin anda boleh meneruskan hubungan sebagai sahabat. Sebelum menyayangi orang lain, sebaiknya anda sayangi diri sendiri. Hiburkan diri dengan lakukan pelbagai aktiviti luar seperti bersukan. Tenangkan diri dengan memohon daripada-Nya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.