Selasa, Februari 02, 2010
Tafsir Surah al-Maidah Ayat 102 : Nabi tegah bertanya agama tidak serius
Tafsir Surah al-Maidah Ayat 102 : Nabi tegah bertanya agama tidak serius
Ayat ini diturunkan bersempena dengan Abdullah bin Huzafah r.a. Beliau termasuk di kalangan ahli Badar yang diutuskan oleh Nabi s.a.w. membawa surat yang mengajak Raja Parsi (Kisra) memeluk Islam.
"Masuk Islam, kamu selamat," demikian antara isi kandungan surat itu. Kisra diberi peringatan bahawa jika raja Parsi itu tidak memeluk Islam nescaya dia memikul dosa pengikutnya dari kalangan penganut agama Majusi.
Abdullah bin Huzafah tidak sujud kepada Kisra kerana Nabi s.a.w. mengharamkan sujud kepada makhluk, selain dari Allah.
Abdullah menyerah surat Nabi s.a.w. kepada Kisra tanpa memperdulikan protokol raja Kisra walaupun dia dimarah oleh raja itu.
Kisra telah mengoyak surat Nabi s.a.w. di dalam majlis penghadapan di istana Kisra. Apabila peristiwa tersebut diberitahu kepada Nabi s.a.w., baginda bersabda yang bermaksud: "Akan dikoyak setiap yang dikoyak. Apabila binasanya Kisra, tidak ada lagi raja yang bergelar Kisra selepas itu."
Inilah murkanya Nabi s.a.w. apabila suratnya tidak dilayan sedangkan mengikut muamalah antarabangsa pada masa itu sesuatu negara mestilah menghormati utusan yang dihantar dari mana-mana negara ke dalam negara tersebut.
Utusan Nabi, Abdullah bin Huzafah dihina. Allah Ta'ala telah menjatuhkan kerajaan Parsi di zaman Saidina Umar Ibnul Khattab r.a.
Mengikut riwayat At-Tirmizi dan Daraqutni, dari Ali r.a. katanya, ayat ini diturunkan bersempena dengan peristiwa ketika diturunkan firman Allah yang bermaksud: "Dan sabit bagi Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadat haji ke Baitillah (Makkah) kepada sesiapa yang mampu berjalan menuju kepadanya." (Surah Ali Imran: 97)
Bila turun ayat ini mereka bertanyakan Nabi s.a.w., "adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?" Nabi s.a.w. mendiamkan diri, tidak menjawab. Mereka bertanya lagi, "adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?" Rasulullah bersabda yang bermaksud, "tidak, kalau aku menjawabnya nescaya wajib mengerjakan haji setiap tahun."
Yakni ianya akan menjadi keberatan kepada kamu. Lalu Allah menurunkan ayat ini. Mengikut al-Bukhari bahawa hadis ini adalah hadis hassan tetapi mursal (sandarannya putus) kerana orang yang meriwayatkan hadis ini, Abu Bakhtari (Said) tidak bertemu dengan Saidina Ali r.a.
Bagaimana dia boleh meriwayatkan hadis ini dari Ali dan dari Nabi s.a.w.? Justeru hadis ini tidak boleh menjadi hujah yang kuat sebagaimana riwayat yang terdahulu.
Ayat ini melarang kita bertanyakan masalah agama kerana bermain-main terutamanya kepada sahabat r.a. ketika wahyu diturunkan.
Apabila ditanya maka Allah menurunkan wahyu yang lain pula. Seringkali ia menjadi bebanan yang berat kepada mereka kecuali dalam perkara yang diizinkan oleh syarak.
Perkara ini pernah berlaku kepada Bani Israel dan kaum-kaum yang lain di zaman silam. Firman Allah yang bermaksud,"sesungguhnya telah bertanya oleh kaum yang lebih dahulu daripada kamu kemudian mereka menjadi orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah: 102)
Di antaranya ialah kaum Nabi Soleh yang bertanyakan Nabi itu supaya menunjukkan bukti lalu Allah mengurniakan mukjizat seekor unta yang luar biasa.
Tiba-tiba mereka menjadi kafir. Mereka menyembelih unta mukjizat yang dikurnaikan oleh Allah kepada Nabi Soleh dan mereka dibalakan oleh Allah dengan satu tempik (jeritan) yang membinasakan mereka semuanya.
Hanya tinggal bangunan yang di pahat daripada bukit yang pejal yang menjadi tempat tinggal mereka.Kaum Nabi Soleh dimatikan oleh Allah.
Justeru kita jangan jadi seperti sahabat-sahabat Nabi Isa a.s. yang meminta supaya diturunkan hidangan daripada langit. Oleh kerana sayangkan para sahabatnya, Nabi Isa a.s. berdoa supaya Allah menurunkan hidangan daripada langit.
Kemudian mereka meminta benda yang bukan-bukan seolah-olah mahu jadikan nabi mereka sebagai pemain silap mata.
Jika berlaku sesuatu yang pelik barulah beriman, sebaliknya jika tidak ada benda pelik berlaku mereka tidak beriman kepada nabi Isa a.s. Allah Ta'ala tidak sukar untuk mengurniakan sesuatu yang pelik kepada nabi dan rasul-rasul-Nya untuk dijadikan sebagai mukjizat kepada mereka dan kepada wali-wali-Nya sebagai karamah.
Tetapi apabila ada perkara yang pelik ini, tiba-tiba engkar, tidak mahu ikut maka siksanya adalah lebih berat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.