Ahad, Oktober 18, 2009
CARA TIDUR RASULULLAH
Umat Islam dianjurkan supaya selalu berdo'a dan berzikir dalam apa jua keadaan demi mendapatkan rahmat dan keberkatan hidup daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Ia juga dihasratkan untuk mengelakkan daripada terjadinya gangguan-gangguan makhluk-makhluk seperti jin dan syaitan, sama ada ketika senang ataupun susah, ketika berdiri, duduk, berjalan, bekerja dan begitu juga waktu bangun dan tidur.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menganjurkan agar kita selalu berzikir, sehingga dalam perkara tidur juga kita diberikan garispanduan dengan menganjurkan do'a dan zikir-zikir tertentu. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sebagai model terunggul bagi umat Islam telah menggariskan adab kesopanan, peraturan dan panduan ketika tidur untuk diamalkan sebagaimana Baginda sendiri mengamalkannya.
Dalam sebuah hadis diterangkan:
Maksudnya: "Al-Barra' bin Azib Radhiallahu 'Anhu berkata: "Adalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam jika akan tidur, miring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca doa:
Maksudnya : " Ya Allah aku serahkan diriku kepadaMu dan menghadapkan mukaku kepadaMu dan menyerahkan semua urusanku kepadaMu, dan menyandarkan punggungku kepadaMu kerana mengharap dan takut kepadaMu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksaMu kecuali kembali kepadaMu. Aku percaya kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus".
(Hadis riwayat Bukhari)
Menurut sebuah hadis lagi riwayat Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: "Jika kamu akan tidur maka berwudhu'lah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah do'a ini (seperti do'a yang tersebut di atas) dan jadikanlah bacaan do'a itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)".
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis :
"Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain."
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Tidur adalah dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, iaitu sekiranya seseorang itu tidur dengan melakukan saranan-saranan dan mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
Dalam sebuah hadis daripada Huzaifah katanya: "Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam apabila Baginda berbaring di tempat tidurnya, Baginda berdo'a (Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan aku hidup) dan apabila bangun Banginda membaca DOA berikut yang bermaksud:
Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepadaNyalah tempat kembali."
Dalam riwayatnya yang lain menerangkan: "Daripada 'Aisyah Radhiallahu 'Anha katanya: "Nabi Sallalahu 'Alaihi Wasallam apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam Baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdo'a), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian Baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dapat disapunya mulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.
(Diriwayatkan oleh at-Tirmizi)
Selain itu sebelum tidur Baginda menunaikan sembahyang Witir sebagaimana hadis yang menyebutkan: "Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan sembahyang witir setiap kali sebelum tidur.
(Hadis riwayat Bukhari)
Ketika Baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, Baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum Baginda tidur semula.
Dalam sebuah hadis yang lain pula Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila dia berwudhu' maka akan terbukalah ikatan yang kedua. Apabila dia sembahyang maka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas dan kekusutan hati"
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari)
Demikian antara cara tidur Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk menjadi amalan kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulasan anda akan dipantau,apa sahaja ulasan anda ianya bukan tanggungjawab pemilik blog,terima kasih kerana berani memberikan ulasan.